Khutbah Jemuah
Kategori : Iman & Taqwa | 04.18.05 @ 7:44 am
Keyakinan Dan Kepercayaan Terhadap Allah
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بَعَثَ إِلَيْنَا رَسُولاً هَادِيًا إِلَى دِينِهِ الْقَوِيمِ. وَجَاهَدَ حَقَّ جِهَادِه، اِبْتِغَاءَ مَرْضَاةِ الرَّبِّ الرَّحِيمِ.أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، شَهَادَةً تُنْجِي قَائِلَهَا مِنْ نَارِ الْجَحِيمِ. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَناَ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ الَّذِي هَدَانَا إِلَى الطَّرِيقِ الْمُسْتَقِيمِ. اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ اَلنَّبِيِّ الْكَرِيمِ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوا اللهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, marilah kita semua tingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah yang telah memilih Islam sebagai agama kita. Kita taati segala perintahNya dan jauhi segala laranganNya. Semoga dengan itu akan bertambahlah lagi keimanan kita kepadaNya.
Sidang Jumaat yang dihormati,
Kekuatan dan kelemahan sesuatu umat itu terletak pada keimanan dan kepercayaan mereka kepada Allah. Sejauh mana keyakinan mereka pada kebesaran dan kekuasaan Allah. Sejauh mana keyakinan mereka pada janji-janji Allah dan sejauh mana keyakinan mereka terhadap qada’ dan qadar Allah. Atau adakah di antara kita yang masih sangsi akan kekuasaan Allah pada makhluknya? Atau adakah di antara kita yang masih kurang percaya pada janji-janji Allah yang termaktub dalam kitabNya? Atau adakah di antara kita yang masih terlintas di fikirannya akan ketidak-adilan Allah atas apa yang ditakdirkan ke atas diri kita? Kita tanya pada diri kita sendiri, adakah benar-benar kita yakin kepada Allah ataukah sebenarnya kita lupa untuk mengingatinya?
Kaum Muslimin rahimakumullah,
Adakalanya kita tidak menyedari bahawa kita semakin lupa mengingati Allah. Maka apabila kita lupa pada Allah, akan berkuranganlah keyakinan dan kepercayaan kita kepada Allah. Mengapa tidak? Apa yang nyata sekarang ini, yang semakin menjadi-jadi di kalangan sesetengah masyarakat kita ialah mereka lebih cenderong untuk mengharap pertolongan daripada manusia daripada meminta pertolongan daripada Allah! Mereka lebih sanggup mengeluarkan wang mereka, berjumpa dengan mana-mana tok bomoh untuk menyelesaikan masalah-masalah mereka, dengan jampi mentera dan menggunakan tangkal, sudah cukup memuaskan hati mereka. Sepatutnya sebagai seorang Muslim, kepada Allah jualah kita mengadu nasib dan berserah kepadaNya. Tidak sedarkah kita bahawa amalan berjumpa dengan bomoh ini boleh merosakkan aqidah kita? Tangkal, jampi serapah dan air-air yang ditawarkan tidak dapat mendatangkan sedikit pun manfaat atau mudharat kepada kita tanpa izin dari Allah. Semuanya dari Allah. Maka minta lah dari Allah. Pohon lah kepada Allah. Yakinlah bahawa segala suatu usaha untuk menyelesaikan masalah tidak akan berhasil tanpa keizinan dari Allah. Firman Allah s.w.t di dalam surah At-Taubah, ayat 51:
قُلْ لَنْ يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَنَا هُوَ مَوْلَانَا وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلْ الْمُؤْمِنُونَ.
Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung kami, maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal”.
Sidang Jumaat sekelian,
Ada juga golongan yang suka mengeluh, menyalahkan Allah atas bencana yang menimpa dirinya, tanpa memikirkan sebab musababnya dan hikmah di sebalik apa yang terjadi. Jika kita fikirkan, punca mengapa tipisnya keimanan kita kepada Allah, jawapannya ialah kerana kealpaan kita mengingatiNya. Kita lupa beribadat kerana sudah menjadi orang senang. Kita lupa menunaikan solat, kononnya kerana terlalu sibuk dengan tugas. Kita lupa tanggungjawab kita terhadap ibu bapa kerana sudah menjadi orang atasan. Kita lupa anak isteri kerana leka dengan hiburan di luar.
Sidang Jumaat yang mulia,
Mengapa ini semua berlaku pada diri kita yang hanyalah sebagai hamba-hamba Allah yang serba kekurangan. Pada hal manusia telah berjanji dengan Tuhan di alam roh dahulu kala lagi, ketika Allah s.w.t bertanya kepada roh-roh manusia pada ketika itu dengan firmannya di dalam surah Al-A’raf, ayat 172, yang bermaksud:
وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِنْ بَنِي آدَمَ مِنْ ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَى أَنفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُوا بَلَى شَهِدْنَا أَنْ تَقُولُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَذَا غَافِلِينَ.
“Dan ingatlah ketika Tuhan mu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): “Bukankah aku ini Tuhan mu?” Mereka menjawab: “Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi”. (Kami lakukan yang demikian itu)agar di Hari Kiamat kamu tidak mengatakan: “Sesungguhnya kami(bani Adam)adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)”.
Tetapi, saudara-saudara sekelian, manusia sudah lupa pada janji yang dibuat oleh mereka kepada Allah. Manusia terus mengabaikan perintah Allah. Manusia terus melupakan pengajaran Allah lantas mereka mengikuti ajakan hawa nafsu mereka. Apabila ini berlaku pada umat manusia, sehingga mereka lupa daratan, dengan itu, Allah bukakan pintu kemewahan dengan seluas-luasnya, Allah berikan pangkat setingginya. Allah meluaskan peluang kekayaan baginya. Begitu juga, Allah bukakan pintu-pintu kesenangan dan kemudahan dalam semua segi, samada baik atau buruk. Maka dengan itu, mereka semakin leka dengan apa yang mereka kecapi. Bagaimana pula jadinya, kalau di ketika itu nyawa mereka diambil? Maka tiada kesempatan bagi mereka untuk bertaubat, Wal’iyazubillah. Gambaran ini jelas disebut oleh Allah dalam surah Al-An’aam, ayat 44:
فَلَمَّا نَسُوْا مَا ذُكِرُوْا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّى إِذَا فَرِحُوْا بِمَا اُوتُوْا أَخَذْنَاهُمْ بَغْتَةً فَإِذَا هُمْ مُبْلِسُونَ”.
Yang bermaksud: Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka; sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami siksa mereka dengan sekonyong-konyong, maka ketika itu mereka terdiam, berputus asa.
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Begitu buruknya akibat orang yang lupa kepada Allah, yang kemudiannya membawa kepada kurangnya kepercayaan kepada Allah. Sudahlah dirinya itu jauh dari Allah, ditenggelamkan pula dalam lautan kemewahan dan akhirnya membawa kepada kesesatan. Inilah yang dinamakan Istidraj. Oleh itu, saudara-saudara ku sekelian, sebelum kita jauh tersesat, janganlah hendaknya kita lupakan Allah, janganlah hendaknya kita lupakan perintah dan suruhan Allah kerana itu boleh mendorong kepada hilangnya keyakinan kita kepada Allah, kepercayaan kita akan mula goyang. Dan apabila kepercayaan pada Allah sudah mula goyang, tanpa disedari, kita akan terjerumus ke lembah kesesatan, Na’uzubillah. Semoga kita semua dimasukkan dalam golongan orang-orang yang bertaqwa, yang sentiasa ingat pada Allah dalam apa jua keadaan dan semoga kita terpelihara daripada kelalaian dan kealpaan.
بَارَكَ الله لِي وَلَكُمْ فِي الْقُرْآنِ الْعَظِيمِ ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالِّذكْرِ الْحَكِيمِ ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، أَقُولُ قَوْلِي هذَا وَأَسْتَغْفِرُ الله الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ ، وَالْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِينَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِين.
1 Komentar »
Isi Komentar
Tag HTML Yang bisa digunakan:
<b>, <i>, <a>, <p>, <font>.
Smileys ikon:
code :)
code :P
code :lol:
code :(
code ;)
code :D
code :x
code :-o
Anda bisa menggunakan Trackback & RSS Feed ini untuk mengisi komentar.



ancen kwesel….